<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Jumaat, April 30, 2010

Kasih Kerana ALLAH Benci Kerana ALLAH

Aku menyeru diriku dan semua saudara-saudara yang mengaku islam taatilah Allah dan RasulNya dengan mengikuti segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya moga-moga beroleh selamat didunia dan di akhirat.

Kembalilah kepada Allah Tuhan Sekalian Alam dengan taubat yang benar. Bersihkanlah tubuhmu daripada segala dosa dan sia-sia. Sucikanlah hatimu daripada segala aib cela dan najis-najis syirik yang menghalang daripada beroleh tauhid dan rahmat Allah. Maka sujudlah dihadapan Tuhanmu dengan hina dan kefakiran. Dan tangisilah dirimu sebab engkau masih terhalang dari taufiq dan kebenaran. Moga-moga Allah berkenan menghulurkan rahmatNya kepadamu dan memimpinmu kepada jalanNya yang benar.

Sesungguhnya zaman ini (1430H) kita semua berada dibawah langit dan bumi kemurkaan Tuhan. Terkecuali kita yang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Pada hari ini syirik telahpun menguasai tauhid. Maksiat berleluasa dan terlalu banyak tanpa tiada yang mempedulikan. Orang yang berbuat taat terlalu sedikit. Kemunafikan bermaharajalela, pendustaan dan bidaah agama merata-rata. Kejujuran dan keikhlasan sudah tiada.

Orang yang benar-benar takut kepada Allah hanya satu dalam beribu-ribu orang. Amanah Allah telah dikhianati dan ibadah sudah tidak dipeduli lagi. Urusan dunia dipandang tinggi dan akhirat terus dilupa.


Perempuan dizaman ini telah hilang rasa malu dan harga diri. Berpakaian tetapi macam telanjang, memakai kain, baju nipis, berseluar ketat sendat dengan bangganya.! Mereka lalai dan tidak takut lagi kepada azab laknat Allah. Dan maka tercetuslah nafsu-nafsu lelaki menjadi buas dan zalim. Kejadian rogol dan pembunuhan tidak dapat dibendung lagi.

Penzinaan, berzina dan zina mata sudah menjadi kebiasaan. Minum arak menjadi kegemaran. Judi dan memakan riba’ menjadi kemegahan. Lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Dadah dan hiburan menjadi pemujaan.

Majalah mendedahkan tubuh wanita bebas terjual diserata tempat dan hasil jualannya diberi makan pakai kepada anak isteri..! Tempat-tempat penginapan sulit, rumah-rumah rahsia gelap, filem-filem lucah, bar dan disco mendapat sambutan hangat dan pembelaan. TV dan suratkhabar menjadi rujukan dan kitab-kitab mereka dan rumah-rumah mereka telah menjadi panggung-panggung wayang..! Dan alim ulamak sudah tidak berani memberikan fatwa mengenai TV dan filem-filem yang bercanggah dengan syarak kerana hendak menjaga hati orang ramai!

Masjid dan surau tidak lagi menjadi tempat untuk mendekati diri kepada Tuhan tetapi menjadi tempat medan perebutan pangkat dan kemasyhuran. Permainan dan pekerjaan menjadi lebih utama daripada ibadat. Sembahyang dan puasa sudah menjadi adat bukan lagi ibadat. Akhlak semakin rosak. Segala yang mereka hendak buat semuanya boleh belaka.! Tiada siapa yang berani menyekat atau mengatakan apa-apa halal atau haram.

Masjid-masjid hanya tinggal jasad. Jasad yang dihati mereka tiada lagi taqwa dan ketika itu yang paling jahat ialah orang alim! Daripadanyalah datangnya fitnah dan kepadanya kembali fitnah itu. Mimbar-mimbar masjid sudah dicemari oleh daki-daki dunia dan debu-debu syirik.
Dan al-Quran telah dipenjarakan di dalam masjid-masjid..!

Pada hari ini ramai orang fasih lidahnya tetapi buta hatinya. Orang jahil dan orang Islam terus dalam kejahilan. Tidak mahu belajar agama dan membaiki diri. Orang yang berilmu telah terpengaruh dengan keduniaan dan hati hati mereka telah menjadi buta. Menjadi alat kepada makhluk dan berpaling diri dari Tuhan.!

Kebanyakan alim ulama diam membisu masing-masing menjaga kepentingan diri. Takut hilang gaji dan pencen. Alim pendusta semakin ramai yang menjadi lidah-lidah kebatilan. Bagaikan lalat yang berebut-rebut menghinggapi najis yang busuk. Dan akhirnya, mereka tertimbus di dalam najis itu.!

Orang alim di akhir zaman ini, agama dijadikan alat cari makan dan yang paling jahat telah menjadi alat melawan Tuhan.! Mereka seperti lembu-lembu yang dicucuk hidungnya dengan tali dan ditarik sesuka hati tuannya.

Pakaian sunnah nabi menjadi dagang dalam negeri sendiri dan ulama moden lebih kasih bangga meniru pakaian barat yang yang menjadi musuh Islam. Golongan yang berjuang Islam masih lagi takut dan bimbang kerana mereka masih bergantung rezeki pada tangan makhluk. Dan mereka tidak yakin rezeki dalam tangan Tuhan! Menyebabkan fatwa agamanya menjadi longgar dan berbolah-balik. Ditipu nafsu sendiri kerana takutkan terlucut habuan dunia dari tangannya.

Rahsia zikir isbat dan zikir kuat sudah tidak difahami oleh ulama akhir zaman kerana dunia telah bertahta dihatinya dan tiada sifat merendah diri. Golongan thariqat pula terumbang ambing tanpa nasihat dan pimpinan guru mursyid yang benar dari Tuhan. Mursyid yang benar kadangkala ada tetapi sukar dikenali kerana ditudung oleh alim ulama dunia yang bimbang pengaruhnya akan hilang. Jalan tasauf amat sedikit pengikut tetapi banyak fitnah. Orang yang berjalanpun jarang yang sampai. Yang benar ada tetapi amatlah jarang. Menjadi musuh kepada ulama yang terhijab dengan Tuhan.

Jaga-jaga.! Ahli tasauf tiruan juga ramai dan kebanyakkannya mereka mengambil kesempatan duit dan perempuan. Meraba-raba hal ketuhanan di dalam gelap tanpa hidayah dari Tuhan dan akhirnya tergelincir kaki dan tersesatlah jalannya.! Iman semakin menipis, janji Tuhan menjadi keraguan di dalam diri dan bala’ dari Tuhan tidak dipedulikan lagi.

Cinta dunia, cinta harta-benda, cinta pangkat dan cinta kebesaran dan lupa mati telah melanda masyarakat. Tamak, iri-hati dan fitnah-memfitnah. Khianat-mengkhianati, megah, sombong, lupa diri dan lupa Tuhan telah menjadi seperti kuman-kuman penyakit yang telah merebak wabak dikota dan didesa.

Suami-suami menjadi dayus tidak mendidik anak isteri kepada jalan taqwa. Isteri-isteri menjadi jari telunjuk di dalam rumah tangga.! Ramai isteri yang derhaka kepada suami. Orang tua tidak lagi mengasihi golongan muda dan golongan muda tidak lagi menghormati orang tua. Dan tugas nasihat-menasihati sudah tidak diamalkan lagi. Jalan dunia diperluaskan dan ramai teman-taulan. Jalan akhirat telah disempitkan, dikambus-timbus dan tiada teman-taulan.

Semuanya berada diatas jalan menaiki kenderaan, satu cita-cita satu tujuan. Mencari kepentingan dunia dan kebendaan. Inilah kebanyakkan orang di akhir zaman.. Dusta, penipu dan belit jadi mainan asalkan memdapat wang.! Mereka tidak lagi takut pada azab Tuhan. Hukum hakam Tuhan diketepikan. Orang yang benar dihina dan dicela. Orang yang pendusta dipuji-puja. Benar dan salah tidak dapat dibezakan lagi kerana telah buta mata di dalam dada. Inilah tanda orang yang dusta dalam iman.!

Manusia ramai yang menjadi seperti haiwan. Hidup, makan, minum siang dan malam. Hawa nafsu menjadi tuhan. Iman telah tercabut dan akal nuraninya sudah padam dan menjadi rosak. Pemuda-pemuda tidak lagi sayangkan nyawa mereka, berlumba-lumba motorsikal dan kereta ditengah jalanraya seperti dirasuk syaitan..! Pemuda-pemudi bebas bebas berkeliaran memuaskan nafsu syahwat kebinatangan mereka. Wanita zaman ini tidak lagi peduli batas-batas aurat dan pergaulan mereka. Telah menjadi senjata-senjata syaitan. Mereka berpakaian seperti pelacur. Bermegah-megah dijalanan, tempat hiburan maksiat dan tempat membeli belah.

Anak-anak ramai yang telah menderhaka pada ibubapa dan ibubapa pun juga ramai yang telah menderhaka pada Allah dan RasulNya. Nasihat yang benar tidak didengari dan amaran Tuhan tidak dipedulikan lagi. Batas-batas Islam sudah mula pecah dan banjir kekufuran melanda negeri…
Allah! Allah..!Ajaran nabi sudah banyak dibuang dan ditambah sesuka hati, sunnah nabi telah ditinggalkan. Tuhan hanyalah tinggal namaNya sahaja. Bukan lagi yang dipuja, yang disembah dan yang ditaati.

Ruh imannya telah mati dan hanya jasad yang menunggu maut. Islam hanya tinggal namanya . Al-Quran hanya tinggal huruf-hurufnya sahaja. Zaman ini ramai manusia telah berpaling daripada Allah dan berhadap kepada makhluk. Hanya sedikit orang yang hatinya rindu pada akhirat. Dan amat sedikit orang yang dapat merasai kelazatan, kecintaan dan kerinduan pada Allah. Apatah lagi mengenal Allah, Tuhan pencipta sekalian alam..!

Manusia dizaman ini tamak dan haloba dengan nikmat Allah tetapi mereka tidak mahu taat kepada Allah. Manusia mengetahui Allah ada tetapi mereka tidak mahu mengenal Allah dan berhadap kepada Allah. Mereka menyembah Allah tetapi tidak berusaha mengenali Allah. Alangkah murkanya Allah.! Tidakkah mereka tahu bahawa hanya Allah sahaja tuhan yang wujud di dalam alam ini…

Manusia ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka, mereka anggap dari usaha
mereka sendiri dan dari cerdik pandai mereka.
“Barangsiapa yang tidak turut perintah Allah, tidak bersyukur dengan nikmat
Allah dan tidak redha barang yang Allah takdirkan kepadanya maka carilah Tuhan
yang lain daripada Allah dan janganlah duduk di dalam dunia Allah ini.”

Wahai orang Islam yang masih hidup hatinya..! Sebarkanlah, tiupkanlah dan nyalakanlah semula ruh jihad di dalam dirimu. InsyaAllah..! Islam akan akan bersinar kembali. Inilah fitnah di akhir zaman. Maka tunggulah, tunggulah perang dari Tuhan Maharaja Yang Maha Perkasa..

“Wahai orang-orang yang beriman..! Janganlah kamu mengkhianati terhadap Allah dan RasulNya dan jangan pula khianati barang yang diamanahkan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Dan moga-moga kami dan kamu diselamatkan oleh Allah daripada kesesatan.
Amin...

1 ulasan:

Werdah berkata...

Salam.

Sangat tersentuh.. baru pagi tadi dengar ceramah daripada CD tentang tanda2 kiamat kecil, seperti yang dihuraikan ada dalam N3 ini.

Terima kasih atas perkongsian ini