<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Selasa, Julai 28, 2009

Himpunan mansuh ISA: GMI tidak berganjak

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak akan berganjak dengan keputusan mereka untuk mengadakan perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1 Ogos ini walaupun mendapat gesaan agar mereka membatalkan hasrat tersebut.

Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh ISA, Kamaruzaman Mohamad berkata, GMI akan tetap meneruskan rancangan mereka untuk berhimpun di ibu negara pada Sabtu ini bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tidak akan berganjak, tidak sama sekali untuk membatalkan rancangan yang telah kita rancang sejak begitu awal lagi ini.

"Kita akan teruskan hasrat ini yang membawa mesej bahawa rakyat sememangnya mahu ISA dimansuhkan kerana ia merupakan satu akta yang kejam," katanya kepada mStar Online.

Semalam Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) memberi kata dua kepada GMI agar membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan anti ISA berkenaan.

Malah Magaran juga menegaskan jika GMI masih berdegil untuk meneruskan hasrat mereka, pihaknya juga akan turut menganjurkan perhimpunan balas pada hari yang sama untuk menyokong penggunaan ISA.

Magaran disertai oleh 56 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang keahliannya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.Kamaruzaman berkata semua pihak mempunyai hak untuk menganjurkan sebarang perhimpunan secara aman.

"Rakyat di negara ini mempunyai hak untuk mengadakan sebarang perhimpunan, kita hormati pendirian Magaran jika mereka juga mahu mengadakan perhimpunan balas.

"Mereka ada hak untuk buat perhimpunan dan kami juga ada hak yang sama," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya pertembungan dengan penyokong Magaran, beliau berkata perkara tersebut mungkin akan dapat dielakkan memandangkan kedua-dua perhimpunan tersebut diadakan pada masa yang berlainan.

"Kita pasti tidak akan berlaku sebarang kekecohan atau pertembungan kerana masa yang diaturkan berbeza, mereka pada waktu pagi kami waktu petang.

"Tapi bagaimanapun pihak kami telah merancang persedian rapi dengan menyediakan kira-kira 1,000 anggota Unit Amal dari PAS untuk mengawal keselamatan pada hari tersebut.

"Oleh itu kami juga ingin menasihatkan agar Magaran juga mengambil langkah yang sama untuk memastikan perhimpunan yang diadakan dalam suasana yang aman dan terkawal," katanya.

Kamaruzaman berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perhimpunan pada Sabtu ini.

"Kami juga telah menghantar surat makluman kepada Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong memberitahu mengenai hasrat kami untuk menghantar satu deklarasi rakyat pada hari Sabtu ini," katanya. mStar

Tiada ulasan: