<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Isnin, November 22, 2010

LAMAN NURANI : Pemimpin & Kepimpinan

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan disoal mengenai kepimpinan" (HR Muslim)
Kita sudah biasa mendengar hadith di atas khususnya bilaadanya pemilihan-pemilihan pemimpin atau ketua, sama ada persatuan, organisasi kemasyarakatan, negeri ataupun negara. Kita semua perlu ingat bahawa kita semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin perlu menyedari apa yang dilaksanakannya.

Jika kita menyedari bahawa kita adalah pemimpin, maka kita perlu bersiap diri untuk melaksanakan tangungjawab kepimpinan. Oleh itu, sebelum kita memimpin orang lain, kita perlu menoleh ke dalam diri kita apakah kita sudah mampu dan berjaya memimpin diri sendiri? Malanglah kita yang menerima gelaran seorang pemimpin tetapi pada masa yang sama kita sendiri tidak mampu mengawal diri dan menjaga diri kita, bak kata pepatah, "Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul."

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu untuk menjadi pemimpin ini boleh dipelajari sama ada melalui pengalaman ataupun teori tetapi ianya tidaklah menjamin bahawa seseorang dapat menjadi pemimpin yang baik kepada mereka yang dipimpinnya. Inilah yang menjadi fenomena pada masa ini sehinggalah menimbulkan masalah antara ketua dengan anak buah.

Faktor ini terjadi antaranya disebabkan disebabkan niat awal seseorang untuk bekerja sama ada menjadi ketua atau pekerja bawahan sudah salah dan menyimpang. Salah dan menyimpang bila tidak menganggap kerja yang diberikan kepadanya adalah suatu amanah yang perlu dipertangungjawabkan kemudiannya.

Allah berfirman dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 maksudnya,
'Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapakah dikalangan kamu yang paling baik amalannya."

Ayat di atas menggambarkan bagaimana kita manusia yang diberi tangungjawab untuk melaksanakan sesuatu perkara tetapi tidak serius dalam melaksanakannya. Kita bimbang jika inilah yang terjadi dalam masyarakat kita maka setiap yang bekerja sama ada makan gaji atau bekerja sendiri turut terlibat sama bahkan tidak menganggap setiap pekerjaan yang dibuat bakal mendapat pahala dan dikira sebagai ibadat.

Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana masih ada dikalangan sebahagian dari masyarakat kita yang memegang sesuatu jawatan hanya kerana ingin dikenali dan terasa diri dihormati. Mungkin perkara inilah yang menyebabkan kadang-kadang sesebuah institusi tidak dapat bersaing ke peringkat yang lebih tingi hanya kerana diakibatkan setiap orang tenggelam dengan syoknya masing-masing.

Pemimpin dengan caranya mencari pengaruh manakala orang bawahannya pula berikhtiar mencuri tulang, masing-masing berfikir akhir bulan mendapat gaji. Akhirnya tertingallah amanah yang seharusnya dilaksanakan bahkan dari sini timbul lah bermacam-macam gejala seperti rasuah dan penipuan.

Dengan sebab itulah Nabi Muhammad SAW banyak mengajar sahabatnya sama ada melalui perbuatan ataupun perkataan. Contohnya melalui perkataan adalah sebagaimana Baginda sentiasa memperingatkan para sahabatnya supaya tidak melalukan perbuatan khianat kepada orang lain, manakala melalui perbuatan ialah bila mana sesuatu ketika Baginda sendiri turun dari kudanya untuk mendapatkan kayu api sehinggalah baginda ditegah oleh sahabatnya, baginda menjawab 'aku juga inginkan pahala'.

Inilah sebenarnya kepimpinan sejati. Kepimpinan yang terbina dari hati yang tulus ikhlas dan penuh budi pekerti bahkan boleh mencairkan hati orang bawahannya untuk melaksanakan sesuatu perkara tanpa surat dan memo arahan yang berkali-kali.

Berbeza atau tidak dengan keadaan yang berlaku pada masa kini, di mana setiap orang mencari salah seseorang yang lain. Pemimpin mencari kesalahan orang bawahan dan begitulah sebaliknya orang bawahan mencari kesalahan pemimpinnya, padahal jika seseorang itu bergelar manusia, maka setiap dari mereka pasti mempunyai kesalahan, Nabi SAW bersabda yang ertinya : 'Setiap manusia pasti melakukan esalahan dan sebaik-baik mereka adalah yang bertaubat' (Sahih Muslim).

Baginda bersabda lagi : 'Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan dipertangungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia bertangungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia bertangungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumahtangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertangunggjawab terhadap jagaannya. Ingatlah kamu semua adalah pemimpin dan akan bertangungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.'

Nabi Muhammad SAW turut menegaskan bahawa barangsiapa yang suka mencari keaiban seseorang maka Allah Taala akan membuka aibnya diakhirat kelak bahkan tidak mustahil didunia ini sekalipun.

Dengan sebab itulah jika ditakdirkan kita menjadi seseorang pemimpin sesebuah organisasi atau institusi yang telah cemerlang segala-galanya, hendaknya kita bersyukur jika terjadi persaingan yang sihat antara para pekerja manakala jika kita memimpin sesebuah organisasi atau institusi yang bermasalah, hendaknya kita berlapang dada dan bermuhasabah diri sendiri kerana berkemungkinan Allah SWT ingin menutup atau mengkafarah dosa dan kesalahan kita sebelumnya. Ingatlah setiap orang diuji dan setiap ujian antara manusia adalah berbeza diantara satu dengan yang lain.

Kalau demikian ujiannya maka sudah berapa kalikah kita bersolat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya menyatukan pekerja dibawah kita, merapatkan silaturahim sesama mereka bahkan berapa kalikah kita betul-betul jujur dan ikhlas bersalaman dengan mereka? Ingatlah! pertuturan, raut wajah, dan penampilan seseorang pemimpin boleh dibuat-buat supaya nampak ramah-tamah tetapi tanpa keikhlasan dalaman ianya tidak memberi sebarang makna.

Kerana itu jangan disalahkan orang bawahan jika setelah seseorang itu tidak lagi menjadi pemimpin maka ramai pekerja bawahannya dahulu menjauhi diri darinya dan bila ditanya kenapa? jawabnya kerana "dahulu ketua saya hidup penuh kesombongan".

Salah seorang pemimpin yang bila terjadinya sesuatu kesalahan terus sahaja para pekerjanya yang disalahkan dan terlebih salah lagi jika disebarkan pula kepada orang lain yang tidakpun berhak mengetahuinya. Malanglah jika seorang pemimpin yang sentiasa memberikan pendapatnya dan dipaksakan untuk diterima tetap jika ada orang bawahan yang memberi pandangan maka ditolak serta-merta bahkan terlebih malang jika dengan penuh takbur sanggup berkata bahawa apa yang saya kata adalah benar dan kebenaran itu adalah saya.

Tidakkah kita teringat bagaimana sahabat nabi SAW, Abu Bakar As-Siddiq semasa memberi ucapan utama ketika dilantik menjadi khalifah :
"Saudara-saudaraku! Aku dipilih menjadi pemimpin bukan kerana aku terbaik di antara kalian, bantulah aku jika aku berbuat baik dan luruskanlah aku jika berbuat salah, sifat jujur adalah amanah dan kebohongan adalah khianat".

Dengan demikian sebagai seorang pemimpin sepatutnya kita berhemah tinggi dan mengamalkan konsep musyawarah demi mendengar semua perkataan atau pandangan hatta dari tukang kebun sekalipun.

Ingatlah bahawasanya diri pemimpin bakal bersilih dan bila tiba gilirannya pemimpin baru akan menggantikan tempat itu manakala pemimpin lama bakal dihakimi tentang kepimpinannya.

Dabong, 22 Nov. 2010
19:45

Tiada ulasan: