<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Selasa, Jun 02, 2009

Hang Jebat & Kesannya

Filem Hang Jebat (1961) ialah antara filem terbaik yang pernah dihasilkan di dalam sejarah perfileman Melayu. Saya memang meminato filem melayu klasik tersebut. Cukup dengan jalan cerita, dialog dan props yang dibawa adalah sungguh berkesan dan hidup. Saya tidak pernah puas menonton filem ini biarpun diulang berulang kali. Tahniah kepada pengarah filem ini kerana berjaya membawa penonton supaya berfikir sejenak tentang apakah mesej yang ingin disampaikan. Selain itu juga, penionton dapat membuat perhitungan dengan apa yang berlaku saban hari. Kesultanan Melayu Melaka cukup terkenal suatu ketika dahulu. Ditambah lagi dengan kehadiran lima pendekar bersaudara ini. Tapi, ada manusia di dunia, dengki, khianat, tamak haloba, menjadikan persengketaan yang menyebabkan kejatuhan Kesultanan melayu Melaka.

Jom, kita selidik jalan cerita Hang Jebat (1961) ini dengan fikiran terbuka dan waras. Semuga inya menjadi pedoman kepada kita semua. "MENGAPA JEBAT DERHAKA"

Scene pertamanya sudah cukup tegang (sekali lagi muzik gubahan Wandly Yazid menyesakkan dada). Adegan pembesar-pembesar Melaka yang diketuai oleh Patih Karmawijaya (Mahmood June) mendatang sembah derhaka kepada Sultan Melaka dengan cara mempersembahkan tengkolok masing-masing di hadapan Sultan begitu intense. Wajah gusar Datuk Bendahara & Datuk Temenggung begitu ketara, kecelaruan Sultan juga terpancar melalui titahnya supaya Hang Tuah dibunuh, walaupun celaru tetapi masih ego mempertahankan titahnya.

Permulaan yang sebegitu cemerlang ini sebenarnya memerangkap penonton yang tidak tahu hujung pangkal sejarah Hang Tuah. Tapi disebabkan sejarah Hang Tuah ni dah memang famous, maka atas tuduhan apa Hang Tuah difitnah sengaja tak diceritakan. Tau-tau saja Hang Tuah (M.Amin) dihukum bunuh & Hang Jebat (Nordin Ahmad) membelanya, walaupun diberi amaran oleh Hang Tuah agar jangan derhaka kepada Sultan melalui pesannya “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

Cantiknya filem Hang Jebat ni kerana walaupun jaraknya dengan filem ‘abang’nya Hang Tuah cuma sekitar 5 tahun (dikira rapatlah), tapi dari segi dialog & lakonan, Hang Jebat langsung tak meniru Hang Tuah, seolah-olah filem Hang Tuah tak pernah wujud sebelum ni.

Adegan-adegan filem ni seterusnya menyaksikan kedudukan Hang Jebat yang semakin kukuh di istana sehingga tidak ada sesiapapun yang berani mencabarnya. Sultan sendiri pedih melihat Hang Jebat secara terang-terang berani menentangnya, tapi dia sendiri tak mampu berbuat apa-apa, akhirnya berundur ke rumah Datuk Bendahara.

Hang Kasturi, Lekir & Lekiu yang biasanya digambarkan ‘neutral’ & hanya menurut titah Sultan sebagai pesuruh ‘dihukum’ di dalam filem menjadi lebih tidak berhati perut, sekadar menganggap kezaliman terhadap Hang Tuah sebagai ‘perkara biasa yang terjadi di mana-mana’ (bukankah itu juga alasan orang-orang sekarang yang tau orang tu dizalimi tapi masih tak amik peduli?)

Seperti yang semua sedia maklum, Hang Tuah muncul semula untuk membunuh Hang Jebat tetapi hasratnya ditentang secara keras oleh isterinya sendiri. Hang Tuah menjadi selemah-lemah makhluk yang tewas dengan isterinya, malah tewas 2 kali dengan Hang Jebat. Yang lebih memalukan, sewaktu Hang Tuah tewas tanpa sebarang senjata di tangan, Hang Jebat dengan jelas berkata “Aku boleh bunuh kau Tuah kalau aku mahu, tapi apalah gunanya…”. Sebagai pendekar sejati sepatutnya Hang Tuah berasa malu kerana Hang Jebat sendiri tak mahu membunuhnya, tapi dia beriya-iya mahu membunuh Hang Jebat malah menendang kepala Hang Jebat sewaktu Hang Jebat sedang melutut & merintih di hadapan Hang Tuah, seterusnya menyambar keris Taming Sari yang terlekat di dinding. Hang Jebat sekali lagi mempamerkan keengganannya menentang Hang Tuah dengan terang-terang menyerahkan tubuhnya untuk ditikam oleh Hang Tuah, tetapi Hang Tuah enggan membunuh Hang Jebat tanpa bertikam.

Kesudahannya seperti yang sedia maklum, Hang Jebat ditikam oleh Hang Tuah. Tapi adegan Hang Jebat ditikam dibuat begitu kreatif (ditikam di sebalik langsir istana) & syot darah yang membuak-buak terus diikuti dengan wajah Hang Tuah yang kesal dengan tikamannya. Penyesalan yang instant! Hang Tuah jadi keliru kerana perasaan taatnya terhadap Sultan semasa bertikam dengan Hang Jebat telah hilang entah ke mana setelah Hang Jebat berjaya ditikamnya. Kekeliruannya berlanjutan apabila Hang Tuah meninggalkan Hang Jebat begitu saja dalam keadaan Hang Jebat merintih “sampai hati kau bunuh aku Tuah”.

Hang Jebat seterusnya mengamuk membunuh orang ramai sebelum tiba di rumah Hang Tuah. Ironinya sewaktu di rumah Hang Tuah, apabila Hang Kasturi memberitahu Hang Tuah bahawa Hang Jebat masih hidup, Hang Tuah begitu gembira & karektornya terus bertukar menjadi saudara akrab yang cukup penyayang. Berkecamuknya pendirian seorang yang bernama Hang Tuah ni. Selepas Hang Jebat mati di pangkuan Hang Tuah, sekali lagi Hang Tuah ‘ditikam’ dengan tangisan Dang Baru (Latifah Omar) yang merintih kenapalah orang sanggup membunuh abang Jebat sedangkan hatinya mulia & perjuangannya untuk Keadilan.

Sebenarnya Tuah & Jebat bukan sekadar sejarah biasa yang dihikayatkan turun-temurun untuk generasi Melayu. Tuah & Jebat wujud di mana-mana, malah di waktu sekarang juga. Cuma orang itu sendiri tak sedar dia ialah Tuah ataupun dia ialah Jebat. Berapa ramai orang yang tak berpendirian yang menurut perintah orang atas walaupun dia tahu itu tidak betul seperti perangainya Hang Tuah? Berapa ramai yang telah mengikut jejak Hang Tuah yang putus saudara disebabkan kebenaran sehingga sanggup membunuh rakan karibnya sendiri semata-mata kerana titah Sultan yang ‘buta’ mata perut? Berapa ramai pula yang bijak seperti Datuk Bendahara yang masih ada ikhtiar & akal untuk mengelakkan kezaliman walaupun dihimpit untuk melakukan ketidakadilan? Berapa ramai pula yang berani bangkit menentang kezaliman seperti Hang Jebat & berapa ramai pula yang melabel orang-orang seperti seperti Jebat ini sebagai derhaka & tak mengikut perintah pemimpin, tapi dia sendiri bisu apabila berdepan dengan kezaliman? Berapa ramai pula yang bermuka-muka seperti Kasturi, Lekir & Lekiu? Berapa ramai pula pemimpin yang takde kapla hotak & membuat keputusan ikut hawa nafsu seperti Sultan Melaka? Yang busuk hati & khianat macam Patih Karmawiyaja berapa ramai pulak?

Kalau sungguh cerita Tuah & Jebat ini membosankan maka tidak sepatutnya kelemahan watak-watak di dalam kisah mereka diulangi oleh generasi sekarang, mahu pun akan datang. Tapi kenapa ianya terus berulang & berulang? Memang mudah kalau ditanya sesiapapun sekarang, siapa yang kau sokong, Tuah atau Jebat, dah tentu mereka akan kata Jebat. Tapi sedarkah dia yang dia sendiri mengikut perangai Tuah tanpa dia sedari, sekaligus menyaksikan pengulangan ‘perangai lama’ Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka sampailah sekarang.

Selagi penyakit lama ni tak hilang, selagi itulah cerita Tuah & Jebat akan terus kekal sebagai ‘cerita terhebat’ orang Melayu. Cerita Tuah & Jebat inilah contoh terbaik ’sejarah terus berulang’. Persoalannya, kenapa terus berulang?

Saya dapat membuat satu kesimpulan bahawa filem ini berjaya mengetegahkan sikap taat setia yang tidak berbelah bahagi pada pemerintah, sikap khianat, dengki, hasut menghasut, dan pelbagai lagi sikap yang berkecamuk dan bercelaru yang berjaya dimainkan oleh aktor-aktor ketika itu.

Dalam sejarah Melayu, kita semua dijajah dengan pemikiran supaya membenci Hang Jebat. Hang Jebat digelar penderhaka. Oleh yang demikian, anak-anak kecil menyangjung Abang Hang Tuah yang berjaya membunuh saudaranya, Hang Jebat. Sedangkan kita pada masa kecil-kecil dulu tidak pernah diceritakan kenapa Hang Jebat 'menderhaka'. Oleh yang demikian, berungtunglah kepada sesiapa yang berusaha mendapatkan fakta-fakta berkaitan penderhakaan ini. Tiada bergolak dau-daun kayu jikalau tiada penyebab sama ada angin, ataupun perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.

Sedangkan isteri Hang Tuah sendiri pun melarangnya untuk membunuh Hang Jebat kerana dia mengetahui kenapa hang Jebat bertindak sedemikian rupa. Maka jelaslah kepada kita semua, semasa Jebat bangkit mempertahankan KEADILAN, berapa ramai yang hanya tengok, bisu, buat-buat tak tahu di atas kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku? Cuba saudara semua kaitkan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Bila kita dizalimi, bila kita dikhianati, kita kan bangkit mempertahankannya. Jika kita buat-buat tak tahu, kita lebih teruk dari haiwan, kerana haiwan pun tahu bertindak balas apabila mereka disakiti!!!.

Jadilah ianya pedoman kepada kita, adakah taat membabi buta? Adakah dalam situasi seperti Hang Tuah itu, harus di taat? Adakah 'penderhakaan Hang Jebat' itu salah? Jawablah sendiri dengan akal yang waras. Satu lagi harus diingat, pada zamannya itu, agama Islam menjadi agama utama di Melaka. Sememangnya pegangan agama memang kuat kepada para pembesar istana waktu itu, termasuklah pendekar 5 bersaudara ini.

Tepuk dada... Tanyalah hati...


Tiada ulasan: