<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Jumaat, Ogos 14, 2009

Arak: Berguru pengalaman PAS di Kelantan

Oleh LANJUSOH

NAMPAKNYA media pro-Barisan Nasional (BN) berjaya mencetus lagi sentimen politik di Selangor. Media sekarang tidak lagi terarah kepada Kelantan sahaja.

Boleh dikatakan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor silih berganti merebut tempat di media nasional. Kalau ada tempias ke Kelantan sekadar mengutip kenyataan keras Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Inilah situasi yang diulang-ulang tayang sekarang. Apa yang jelas dengan adanya polemik itu, Umno berpeluang menutup segala kelemahannya.

Isu rampasan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak melalui kudeta berjaya didiamkan. Begitu juga punca kematian bekas pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock boleh dikunci rapat.

Dan retak menunggu belah dalam Perhubungan Umno Terengganu, tidak lagi meniti di bibir rakyat. Perbincangan media begitu rapi sekali menghala Selangor dan Pulau Pinang.

Isu penjualan arak nampaknya diagendakan begitu rupa. Media seakan-akan berjaya menjarakkan hubungan PAS dan DAP dalam isu tersebut.

Isu terbabit dihidangkan sama dengan kecaman hebat terhadap Gabungan Mansuh ISA (GMI). Agak menggelikan apabila kaunter aduan menuntut bayaran dibuka di Kuala Lumpur.

Pak Mat di Manek Urai pun ketawa sendirian di celah pokok getah di atas Bukit Kajang. Kata Pak Mat, sepatutnya peniaga berterima kasih kerana ramai pengunjung memenuhi Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

“Kehadiran puluhan ribu orang tentunya membawa tuah kepada peniaga. Tetapi tiba-tiba polis melepaskan mariam air dan gas pemedih mata.

“Peniaga menutup kedai takut gas masuk ke dalam kedai mereka. Kalau tiada tindakan polis seumpama itu peniaga di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman tentunya mengaut untung berganda,” ujar Pak Mat.

Isu aduan mungkin berakhir begitu sahaja, apabila air dicurah Umno sekadar di daun keladi.

Sebaliknya isu penjualan arak masih mendapat sentuhan media. Media yang dikuasai pengarang Melayu tanpa sedar mempersendakan agama mereka sendiri. Ini kerana larangan jualan arak sudah jelas dalam Islam.

Dalam surah al-Baqarah ayat 219 Allah berfirman yang bermaksud, “Mereka itu bertanya kepada engkau darihal tuak (arak) dan judi. Katakanlah kedua-duanya itu dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Mereka bertanya kepada engkau, apakah yang akan mereka nafkahkan? Katakanlah: sekadar berlebih daripada hajatmu. Demikian Allah menerangkan kepadamu beberapa ayat, mudah-mudahan kamu memikirkan.”

Berpandu kepada keterangan ayat tersebut, mampukah pengarang Muslim cuba mempolemikkan ayat-ayat al-Quran.

Soal pemimpin DAP tidak faham hanya sekadar isu kedua. Usaha yang hendak dilakukan PAS Selangor bagi memberi penjelasan berhubung jualan minuman keras sewajarnya disokong.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Shahir memberitahu PAS Selangor mengadakan penerangan menjelaskan isu tersebut Jumaat lalu.

Bagaimanapun kerajaan Selangor dikatakan mahu penjualan minuman keras berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli.

Oleh itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak akan mengharamkan penjualan minuman keras tetapi sebaliknya memberi tempoh kepada premis terbabit supaya tidak menjual kepada orang Islam.

Isu berrmula apabila seorang anggota Exco dari DAP yang bertanggungjawab terhadap portfolio Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu mungkin keliru larangan arak terhadap umat Islam.

Merungkai persoalan itu ada baiknya kita timba pengalaman apa yang dilakukan di Kelantan.

Seorang ahli majlis kerajaan tempatan di sini memberitahu sebelum 1990 penjualan arak di Kelantan juga berleluasa.

“Bukan sahaja di restoran milik orang bukan Islam, sebaliknya di pasar raya jualan arak secara terbuka.

“Sesiapa pun boleh membeli arak ketika itu kerana tiada kawalan langsung daripada kerajaan BN,” katanya.

Ketika itu arak juga boleh didapati secara mudah di hotel-hotel. Dengan kata lain, liquor dan beer dijual tanpa sekatan dan batasan. Mungkin sama dengan apa yang berlaku di Selangor sekarang.

Dan selepas kerajaan Perpaduan Ummah dibentuk, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menguatkuasa arahan premis menjual arak dihadkan. Dan judi diharamkan.
Ekoran itu ramai perempuan Cina datang menemui Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kerana menguatkuasa peraturan tersebut.

Katanya, suami mereka tidak pulang lewat malam lagi kerana tidak dapat berjudi lagi. Suami mereka juga tidak mabuk seperti dahulu.

Peraturan menyusun semula penjualan arak mulai dikuatkuasa pada 1 Julai 1993.
Ekoran itu semua jenis arak tidak lagi dibenarkan dijual di tempat awam, hotel, restoran.

Namun, peraturan itu tidak menghalang orang bukan Islam minum arak di restoran yang dikhas untuk orang bukan Islam atau rumah mereka. Dan sehingga sekarang di Kota Bharu lesen premis menjual arak dihadkan kepada 35 buah.

Premis berkenaan hanya untuk orang bukan Islam dan tidak dibenarkan sama sekali dimasuki orang Islam. Difahamkan premis terbabit juga dibenarkan menjual babi.
Peraturan mengenai perkara itu terkandung dalam Undang-undang Kecil PBT di Kelantan.

“Had premis yang dibenarkan tersebut dibuat bersesuai dengan dengan jumlah masyarakat Cina dan bukan Islam di Kota Bharu,” kata satu sumber PBT.

Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, Selangor sepatutnya merujuk kepada Kelantan bagi mewujudkan peraturan khas menjual arak.
Katanya yang juga anggota parlimen Ketereh, kawalan seperti dikuatkuasa di Kelantan juga disenangi masyarakat bukan Melayu.

Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, orang Islam perlu mempunyai kesedaran bahawa arak jelas haram di sisi agama.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim juga berhujah perlu ada peraturan khas mengenai penjualan arak bagi mendidik masyarakat menjauhi minuman yang diharamkan.

Pengurus Perhubungan Institut Kajian Strategik dan Penyelidikan Kelantan (Kriss), Ibrahim Mamat berkata, penjualan arak hendaklah dibuat mengikut taburan penduduk bukan Islam.

“Perlu panduan yang boleh diikuti PBT di Selangor sebelum sesuatu peraturan dikuatkuaskan. Apa yang berlaku sekarang penjualan arak hanya menguntungkan peniaga sahaja,” katanya.

Biarpun bilangan penduduk bukan Islam di Kelantan tidak ramai seperti di Selangor atau Kedah, tidak salah untuk menimba apa yang berlaku di Serambi Makkah.

Janganlah berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.

Tiada ulasan: