Sajian makanan itu yang disediakan di beberapa buah restoran di Guangdong dan Chongqing, dikatakan bertoksik. Namun, bukan isu itu yang menimbulkan kekecohan di media massa dan laman blog. Cara penyediaannya yang cukup ngeri dan tidak bertimbang rasa, menyebabkan sesetengah orang berasa ia tidak boleh diterima akal.
Video yang dimuat turun di laman sesawang menunjukkan bagaimana seorang tukang masak yang memegang seekor ular memaksanya mengigit berulang kali dan menyalurkan racun kepada seekor ayam hidup. Setelah hampir seminggu isu ini diuar-uarkan dan diperbesarkan oleh para pencinta haiwan, akhirnya, satu kata putus diambil agar kekejaman ini dihentikan dengan segera.
"Cukup keji dan zalim," tulis satu mesej yang dihantar dalam sebuah portal. "Ia bukan sahaja satu perbuatan ganas dengan membiarkan ular menghisap darah ayam, tetapi ia tidak bermoral," nyata sebuah akhbar di negara itu.
"Meskipun tidak ada sesiapa yang terkena keracunan makanan, ia bukanlah satu langkah yang bijak untuk 'menyembelih' haiwan di atas meja," kata seorang pegawai kesihatan.
Ada juga suara-suara yang menyatakan sebaliknya tentang hidangan makanannya yang lazat. Terlebih dahulu, pegawai kesihatan telah mengarahkan pemilik restoran terlibat supaya berhenti menghidangkan menu tersebut.
Berita ini tidaklah datang secara mengejut kerana benua besar itu telah lama merekodkan sejarah sajian eksotik sehingga menerima tentangan dan kutukan daripada pelbagai pihak. Antaranya ialah menyediakan sajian otak monyet yang masih hidup, musang, sup fetus rusa dan sebagainya.
Dalam pada itu, sebuah restoran di China mempertahankan praktis penyediaan makanan yang kontrovesi ini dengan mengatakan ia baik untuk kesihatan. Para pelanggannya tetap kembali semula untuk mencuba.
"Kami memasak makanan itu sejak bertahun-tahun dan pelanggan kami tidak pernah jemu," ujar seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Zheng di restoran Shunde Renjia di bandar Foshan, Guangdong.
"Ini adalah menu makanan kami yang paling laris," katanya.
Katanya lagi, sebaik makanan atau ayam itu dipanaskan, toksin ular itu akan bertukar menjadi enzim yang membantu untuk mengekalkan badan yang panas dan membersihkan saluran darah.
"Laporan televisyen menjelaskan ia sangat beracun tetapi kami masih ada pengunjung termasuk keluarga yang membawa anak-anaknya," ujarnya mempertahankan tindakan itu.
Ada pengkritik yang menggambarkan pelanggan sebagai seorang yang tidak bertamadun atau bersamaan dengan haiwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan