Anak libas parang
Salman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tak tahan melihat anak sendiri bergelumang dosa, seorang bapa menasihatkan anak lelakinya yang bersekedudukan dengan teman wanita di rumahnya sejak setahun lalu agar berkahwin.
Teguran itu mengundang padah apabila anak mangsa berusia 30 tahun mengamuk dengan merosakkan perabot dan memecah cermin tingkap dan pintu.
Dia kemudian meluru masuk ke bilik sebelum keluar dengan sebilah parang panjang dan mengacu ke arah bapanya.
Bagaimanapun, bapa berusia 50-an itu sempat melarikan diri ketika anaknya melibas parang panjang ke arahnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di sebuah rumah pangsa di sini, Sabtu lalu, si anak yang baru tiba di rumah bersama kekasihnya dileter mangsa yang mahu mereka segera berkahwin.
Menurut sumber, anak mangsa tinggal di rumah itu bersama kekasihnya sejak setahun lalu.
Ini menyebabkan si bapa menasihatkan anaknya berkahwin segera bagi mengelak `cakap-cakap' jiran.
“Mangsa memaklumkan wanita itu tidak boleh lagi tinggal di rumah itu. Nasihat itu menyebabkan anaknya berang lalu merosakkan perabot rumah, cermin tingkap dan pintu sebelum masuk ke bilik mencari parang.
“Sebaik mendapat parang, dia cuba menetak bapanya. Bagaimanapun, mangsa sempat lari menyelamatkan diri.
“Cucu mangsa cuba campur tangan menyebabkan suspek mengancam mencampaknya ke bawah flet,” katanya.
Namun, berlaku pergelutan antara si anak dengan cucu mangsa. Dalam keadaan kelam-kabut itu, cucu mangsa melepaskan diri.
“Melihat bapa dan anak saudaranya melarikan diri, suspek beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Bimbang kejadian itu berulang dan anaknya kembali mengganas, mangsa membuat laporan polis.
Mangsa dikatakan sudah beberapa kali membuat laporan polis berhubung kelakuan anaknya itu yang dipercayai seorang penagih dadah dan kaki botol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan