Pengarah Urusan KTMB Datuk Abdul Radzak Abdul Malek berkata tren bagi perjalanan Tumpat-Dabong-Tumpat itu bermula 3 Mei lalu dan perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan.
“Tren sebelum ini yang dikenali sebagai tren pasar sangat tidak selesa terutama kepada pelajar yang terpaksa pulang lewat dalam keadaan panas. Memahami keadaan itu KTMB membuat satu pembaharuan memperkenalkan tren ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tren itu di Stesen Keretapi Dabong di sini, hari ini.
Abdul Radzak berkata jika sebelum ini lebih 200 pelajar yang bersekolah di Dabong terpaksa pulang pada pukul 3.10 petang tetapi perkhidmatan tren baru itu akan bertolak dari Dabong pada pukul 2.10 petang.
“Ia menjimatkan masa kira-kira sejam untuk pelajar pulang ke rumah manakala ia juga mempercepatkan masa guru yang berulang alik antara Tumpat dan Dabong,” katanya.
Beliau berkata tren ulang-alik itu boleh dikenali melalui nombor khas yang dilekatkan pada tren iaitu bernombor 85 bagi perjalanan pergi dan 86 bagi perjalanan pulang.
Untuk perjalanan pergi, tren bertolak pada pukul 10.45 pagi dari Tumpat dan berhenti di stesen Wakaf Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Temangan, Kuala Krai, Manek Urai, Bukit Abu dan Dabong.
Bagi tren 86, ia bermula dari Dabong, Kuala Gris, Bukit Abu, Kampung Baru Bukit Abu, Ulu Temiang, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Manek Urai, Kuala Krai, Temangan, Tanah Merah, Tok Uban, Pasir Mas, Wakaf Baharu dan Tumpat.
Abdul Radzak berkata para pelajar yang ke sekolah pada sebelah pagi, mereka menaiki tren khas lain yang telah dinaik taraf dan berhawa dingin, lampu lebih terang serta tahap keselamatan lebih tinggi.
Mengenai harga tiket, beliau berkata ia sangat berpatutan untuk pelajar malah diskaun lebih menarik diberikan apabila membeli pas bulanan.
Seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Dabong, Hakim Hakimi Mohamad berkata tren baru itu ia sangat selesa dan jadual perkhidmatan membolehkannya beliau pulang lebih awal ke rumah.
“Harga tambang hanya 80 sen untuk pergi balik dan ia sangat berpatutan terutama kalau saya beli pas bulanan,” katanya.
Seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah sama, Hazama Ismail memuji langkah KTMB memperkenalkan tren baru itu kerana memahami masalah pelajar di pedalaman yang sebelum ini menaiki tren langsung tidak selesa.
“Saya harap pelajar dapat memanfaatkan tren ini dengan dapat pulang awal dan dapat menelaah pelajaran sementara berada dalam koc yang selesa sebelum sampai dan pulang dari sekolah,” katanya.
Selain itu, Abdul Radzak menasihatkan para pelajar tidak membuat vandalisme ketika berada dalam tren kerana KTMB memerlukan perbelanjaan besar untuk memperbaiki kelengkapan tren yang rosak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan