<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Khamis, Mei 07, 2009

Nak Solat Pun Dihalang...


ADAKAH MALAYSIA NEGARA ISLAM???

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang banyak tangkapan yang dibuat polis hari ini di Perak. Dan ramai daripada mereka yang ditahan itu adalah tokoh politik Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun. Mudah sangat polis kita buat kerja, tangkap dan tangkap, langsung tiada budi bicara, rasa kemanusiaan, seolah-olah yang dihadapnya itu benda mati, tiada perasaan, tiada respons.

Lihat saja kes tangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu. Baru buat rayuan solat hajat dan pakai baju hitam sudah dicekup, juga dengan kekerasan, di tempat awam, di tengah-tengah orang ramai. Ya, nak seru orang solat hajat dan munajat di masjid pun sudah menjadi kesalahan besar.

Segala tumpuan dari seluruh negara dihalakan ke sidang Dun Perak, yang menyaksikan dua Menteri Besar dalam satu dewan, dua Speaker dalam satu dewan, dua barisan Exco dalam satu dewan. Memang ia satu sejarah buat Malaysia apabila Speaker yang sah terpaksa diusung keluar dewan oleh pihak polis. Hari ini akan dikenang sebagai satu lagi tarikh hitam gelita dalam perkembangan demokrasi di Malaysia.

Ramai yang mengikuti debar drama di Ipoh itu dengan penuh tegang, dan ramai juga yang ketawa atau gelihati melihatnya. Pelik melihat bagaimana Adun Umno, yang tentunya didorong dan diarahkan oleh pimpinan atasan mereka untuk memastikan juga bahawa sidang Dun hari ini berjaya memecat Speaker Sivakumar. Dan dengan bantuan polis, secara kekerasan, Sivakumar dibawa keluar Dewan.

Seorang rakan, selepas mendapat tahu Raja Nazrin Shah tetap menunggu untuk menyampaikan titahnya bagi merasmikan pemukaan sidang Dun, menghantar SMS meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan baginda itu.

Saya pun tak pasti apakah satu kesalahan juga bagi rakyat negara ini jika ada rasa kesal terusik dalam dirinya apabila tidak bersetuju dengan sikap raja-raja Melayu?

Apakah boleh kita sebagai rakyat biasa untuk mengkritik atau beranggapan tindakan tertentu baginda terutama dalam kes Raja Nazrin ini, dan sebelumnya tindakan Sultan Azlan Shah yang dilihat memihak kepada kepentingan Umno dan mengetepikan keadilan sejagat buat seluruh rakyat.

Apa yang pasti teman saya itu ternyata kesal dengan sikap Raja Nazrin, yang dianggapnya putera raja paling cerdik di Malaysia tetapi telah terperangkap dalam polemik atau pertentangan politik kepartaian, yang mana baginya seseorang raja itu tidak wajar meletakkan diri baginda dalam kedudukan itu.

Beliau yakin rakyat akan menilai kewajaran Raja Nazrin terus berada di bangunan Dun Perak ketika tercetus kekecohan sehingga Sivakumar dipaksa meninggalkan dewan secara paksa dan ia jelas satu penghinaan kepada institusi Dun. Baginya, Raja Nazrin sepatutnya meninggalkan bangunan Dun Perak itu lebih awal dan lebih aula jika baginda langsung tidak menghadirinya. Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai mesej kawan baik saya itu.

Tiada ulasan: