<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Jumaat, Ogos 14, 2009

PANDUAN MENANAM KUBIS BUNGA, BROCOLI DAN FLOKOLI



PENDAHULUAN

Sayur-sayuran brassica seperti kobis bunga, brokoli dan flokoli
dikelaskan sebagai sayuran bunga dan boleh ditanam di tanah rendah
ataupun tinggi. Flokoli ialah hibrid di antara kobis bunga dan
brokoli. Kesemua sayuran ini adalah dari keluarga Cruciferae dan
mengandungi zat pemakanan yang tinggi terutamanya kalsium, vitamin C
dan vitamin A. Varieti sayuran ini yang biasa ditanam di tanah
rendah ialah :

Kobis bunga
Chia Tai Fuji 005

Brokoli
Green King

Flokoli
Green Harmony 509

JENIS TANAH

Tanaman ini sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah yang kaya dengan
bahan organik serta mempunyai saliran yang baik. PH yang sesuai
ialah di antara 6.0 – 7.0 bagi tanah mineral, kadar pengapungan
ialah 3 – 6 t/ha. Kapur hendaklah ditabur dan digaul ke dalam tanah
sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menanam.

PENANAMAN

Penyediaan batas

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 – 20 cm. Sediakan batas
berukuran 1.2 m lebar, 0.15 – 0.2 cm tinggi dan panjangnya mengikut
kawasan. Jarak antara batas ialah 0.3 m.

Semaian

Biji benih kobis bunga, brokoli dan flokoli adalah sangat kecil
saiznya dan perlulah dibuat semaian sebelum menanam di ladang.
Semaian perlu dibuat dalam rumah semaian yang berdidingkan jaring
kalis serangga supaya anak benih tidak diserang oleh serangga
perosak. Tanah untuk semaian perlulah digembur halus dan pH sekurang-
kurangnya 5.0. Sebanyak 250gm biji benih diperlukan untuk menanam
sayuran brassica ini di kawasan seluas 1 hektar. Buatkan batas
berukuran satu meter lebar dan taburkan campuran biji benih dengan
pasir halus (1:1) ke atas permukaan batas. Taburkan selapis pasir
halus bagi menutup biji benih dan letakkan sungkupan dari rumput
atau jerami kering ke atas batas. Siramkan batas setiap hari. Anak-
anak pokok sedia untuk diubah bila berumur 3 – 4 minggu selepas
disemai.

Penanaman

Hanya anak benih yang sihat dan bebas daripada serangan serangga
perosak dan penyakit dipilih untuk ditanam. Anak benih yang berumur
3 – 4 minggu ditanam dua baris sebatas. Jarak tanaman ialah 60 cm
antara pokok dan 60 cm antara barisan.

PENJAGAAN

Pembajaan

Penggunaan baja organik seperti tahi ayam sebagai baja asas adalah
perlu untuk kesuburan tanaman sayuran. Baja ini digaul ke dalam
batas 3 - 5 hari sebelum menanam. Bagi tanah berpasir, sebanyak 20 -
30 t/ha baja organik diperlukan, manakala 3 - 6 t/ha diperlukan bagi
tanah mineral.

Kadar baja inorganik seperti NPK 12 : 12 : 17 : 2 ialah 1.5 t/ha di
tanah gambut dan 1t/ha di tanah mineral, diberi 2 dan 5 minggu
selepas menanam. Di tanah berpasir, kadar baja ialah 2 t/ha dan
diberi 1,3 dan 5 minggu selepas menanam. Baja dibubuh sekeliling
pokok dan digaul ke dalam tanah.

Penyiraman

Siram dua kali sehari kecuali hari hujan. Kekeringan air menyebabkan
pokok terbantut dan bungkah bunga akan pecah. Pada peringkat awal
pertumbuhan tanaman, air yang banyak diperlukan untuk tumbesaran.
Selepas umur pokok sebulan, pengairan sekali sehari sudah mencukupi.

Pengawalan Rumpai

Kawalan rumpai perlu dilakukan sepanjang masa, sama ada secara
manual (dengan tangan atau cangkul) atau sungkupan.

PENGUTIPAN DAN PENGENDALIAN HASIL

Kobis bunga, brokoli dan flokoli dikutip apabila garis pusat bungkah
berukuran 15 cm atau lebih, iaitu 7 - 9 minggu selepas ditanam.
Kelewatan memetik hasil akan menyebabkan bunga berpecah dan menjadi
kuning. Hasil yang diperolehi dari satu hektar penanaman dianggarkan
9 - 15 tan. Semasa pengutipan hasil, beberapa helai daun pembalut
ditinggalkan bagi setiap bunga kerana ini berfungsi sebagai bahan
pelapik semasa pengendalian dan pengangkutan. Sayur dibungkus dengan
kertas semasa di ladang untuk mengawal kerosakan semasa pengangkutan
dan pengendalian seterusnya. Untuk pembungkusan runcit, beg
polietilina, beg kertas atau filem polivinil boleh digunakan. Tanpa
penyejukan sayuran ini boleh tahan selama 3 - 5 hari setelah
dibungkus dan disimpan di tempat redup. Apabila disimpan di tempat
sejuk, suhu 1 - 2° dengan kelembapan 90 - 95%, sayuran ini boleh
tahan selama 2 - 4 minggu.

Tiada ulasan: