<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Isnin, Ogos 03, 2009

PAS bertanding : Anwar

PERMATANG PAUH, 3 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi mahukan PAS meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir sekali lagi.

Menurut beliau kawasan Dun Permatang Pasir merupakan kubu kuat PAS semenjak ia diwakili oleh Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman setelah berjaya merampasnya dari tangan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1999 yang lalu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis kenduri salah seorang penduduk dalam Parlimen Permatang Pauh.

Adun Permatang Pasir, Datuk Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia Jumaat lepas ketika menerima rawatan jantung di Intitut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham Hamdan adalah Adun tunggal PAS di Pulau Pinang dan telah memenangi kawasan itu sejak tahun 1999 lagi.

Sehingga kini, dua nama disebut untuk gantikan Hamdan iaitu AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.

"Secara peribadinya laluan diberikan kepada PAS untuk bertanding dikawasan itu. Dun Permatang Pasir adalah kubu kuat PAS. Oleh itu saya menghormati kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahlinya di Permatang Pasir sejak ia diwakili oleh Allahyarham selama ini," kata Anwar mengulas isu ini.

Anwar juga berkata, cadangan beberapa pemimpin PKR supaya parti itu diberi peluang untuk bertanding di Dun Permatang Pasir akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti memandangkan cadangan sudah dikemukakan kepada parti sebelum dirujuk kepada Pakatan Rakyat untuk pertimbangan.

"Pandangan dan cadangan akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan Pakatan Rakyat sebagai menghormati permintaan mereka. Namun begitu kita memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan tetapi keputusannya adalah terletak pada persetujuan yang dicapai antara Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut beliau lagi faktor calon adalah perkara penting dalam memastikan kejayaan dalam pilihan raya.

Oleh kerana itu maka semua pihak perlu menerima siapa sahaja yang akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sebagai calon dalam pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir yang akan datang.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi di Parlimen Permatang Pauh termasuklah kawasan Dun Permatang Pasir ini sudah bijak dan dapat menilai serta membezakan apa yang telah berlaku dalam negara setakat ini. Mereka dapat menentukan siapa calon yang boleh bekerja untuk rakyat dan sebaliknya.

SiasahDaily/-

Tiada ulasan: