<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Khamis, Ogos 06, 2009

Pas tetap pertahan perjuangan Islam

SHAH ALAM - Pas akan tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama dan adalah perlu rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) memahami perjuangan yang dibawa oleh Pas.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, saranan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu digugurkan jawatannya berhubung isu arak adalah tepat berdasarkan keadaan semasa.

“Jika ia melibatkan kepentingan Islam Pas, kami tidak akan berkompromi. Bagai:manapun jalan penyelesainya adalah mengikut kaedah yang betul melalui pendekatan perbincangan yang memuaskan hati semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Hasan yang jugaPengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam supaya Ronnie digugurkan dari jawatannya ekoran campur tangan dalam isu penjualan arak di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, terpulang kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menentukan kewajaran sama ada Ronnie perlu dilucutkan jawatan berdasarkan tindak tanduk yang diambil.

“Saya tidak boleh kata Ronnie perlu letak jawatan, kita berada jauh dari situasi tersebut, tetapi saya percaya PR mempunyai jalan tersendiri untuk menyelesaikan masalah ini melalui pendekatan perbincangan,” katanya.

Bagaimanapun Harun menjelaskan konflik yang berlaku di negeri Selangor hanya melibatkan individu dalam DAP yang tidak memahami asas perjuangan yang dibawa oleh Pas dan PR.

Sehubungan itu, beliau percaya isu tersebut akan dapat diselesaikan melalui jalan permuafakatan yang adil supaya tidak merenggangkan hubungan dalam PR yang sudah terjalin selama ini.

Tiada ulasan: