<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Jumaat, Julai 17, 2009

7 siswa ditahan demo bela Muslim selatan Thai

Tujuh pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk dua wanita, ditahan polis susulan perhimpunan membantah keganasan terhadap rakyat Islam Thailand di selatan negara itu.

Empat pelajar lelaki ditahan 2.45 petang sewaktu menuju ke kedutaan Thailand di Kuala Lumpur dari bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak untuk berdemonstrasi, kata sumber pelajar.

Mereka, termasuk seorang pelajar bukan Islam, kini ditahan di ibu pejabat daerah Sentul, kata seorang pemimpin mahasiswa Universiti Malaya (UM) Mohd Aizat Mohd Salleh.

Polis daerah itu bagaimanapun menyatakan hanya tiga orang, termasuk seorang pelajar ditahan di situ, setakat jam 4 petang ini.

Sementara empat yang lain ditahan jam 3.30 petang sewaktu kumpulan lebih kurang 100 aktivis pelajar bersurai di bangunan Tabung Haji selepas menyerahkan memorandum.

Keempat-empatnya, termasuk dua wanita, dibawa di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk diambil kenyataan.

Menurut Mohd Aizat, mereka dikenali sebagai Fauzan Maaruf, Farid Hamlud, Syamsul Mahida Abdul Malek dan Aisyah Jamilah Wan Ahmad.

Sementara itu, peguam kumpulan tiga pelajar lagi, yang ditahan di IPD Sentul, Azizzul Shariman Mat Yusoff pula berkata, beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai polis di situ bahawa mereka tidak akan dibebaskan malam ini.

Katanya, ini kerana polis perlu mengambil keterangan malam ini.

Bagaimanapun, Azizzul berkata, mereka dijangka dibebaskan kira-kira jam 9 pagi esok.

Sebelum ini, menurut Mohd Aizat, polis telah memberi amaran kepada kumpulan mahasiswa terbabit supaya bersurai kerana dikatakan mengganggu lalulintas.

Bagaimanapun selepas berunding dengan pihak polis, mereka diberikan lima minit untuk berkumpul dan menyampaikan ucapan.

Aizat mendakwa berlaku pergelutan apabila polis melarang mereka daripada penggunakan pembesar suara.

Ekoran itu, tiga pelajar telah ditangkap manakala empat lagi ditahan selepas perhimpunan ketika mereka berada berhampiran bangunan Tabung Haji.

Tiada ulasan: