<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Isnin, Julai 20, 2009

Manek Urai: Umno akan buat bantahan di mahkamah

Oleh Mohd Zuharman

Umno Kelantan akan mengemukakan bantahan di mahkamah ekoran rasa tidak puashati mereka dengan keputusan pilihan raya kecil (PRK) N41 DUN Manek Urai Julai 14 lalu.Bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah, mendakwa terdapat kesilapan dalam penjumlahan kiraan undi bagi peti undi Manek Urai Lama.

Ekoran itu beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mustapa Mohamad, berhubung perkara berkaitan.

“Datuk Mustapa dalam perbincangannya dengan saya akan meneliti angka itu akan mengambil pendekatan berjumpa dengan pencatit-pencatit pada malam tersebut bagi mendapat maklumat yang lebih jelas.”
"Beliau akan memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan faham dengan apa yang berlaku,” katanya mengulas perkara berkaitan ketika dihubungi.

Sehubungan itu Umno negeri akan mengumpulkan segala maklumat dan fakta sebagai bukti sebelum bantahan dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun Wan Zaid berkata beliau menyerahkan tindakan lanjut kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri itu untuk membuat keputusan.

Menurut Wan Zaid, pengiraan undi bagi peti undi Manek Urai Lama menunjukkan BN memperolehi 1,008 undi manakala PAS 708 dan undi rosak 19.

Dari jumlah berkenaan, beliau mendakwa, majoriti diperolehi BN adalah 289 undi. Bagaimanapun pada pengumuman pada malam penjumlahan dicatatkan 189 undi.

Katanya semasa pengiraan undi di peti undi berkenaan agen BN telah membuat kesilapan kerana tidak menandatangani kertas pengesahan pengiraan.

Wan Zaid memberitahu undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bantahan keputusan pilihan raya boleh dilakukan melalui mahkamah dalam tempoh enam bulan.

Pada PRK tersebut calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, berjaya mengekalkan kemenangan parti PAS pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu.

Fauzi memperolehi 5,348 menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang mendapat 5,283 undi. Fauzi menang dengan majoriti 65 undi.

Pusat penjumlahan undi dan keputusan PRK DUN Manek Urai diumumkan oleh Pengurus SPR, Adnan Hussin, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, pada malam Julai 14.

Sementara itu, BN berjanji akan meneruskan agendanya dalam melaksanakan program pembangunan walaupun kalah dalam pilihan raya agar rakyat tidak menjadi mangsa politik lantaran kegagalannya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad, akan menterjemahkan modul pembangunan di kawasan pilihan raya kecil Manek Urai sebagai model pembangunan berterusan di Kelantan.

“Langkah itu menunjukkan Umno dan BN ikhlas dalam melaksanakan program pembangunan walaupun parti itu tewas dalam pilihan raya kecil Manek Urai selasa lepas,” katanyanya pada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua Jabatan Persekutuan di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) di sini.

Mustapa juga berkata kerajaan BN akan mengurangkan kerenah birokrasi dengan mengutamakan rakyat tanpa mengira parti dan ideologi politik dalam melaksanakan projek menerusi slogan mesra dan cakna rakyat.

Sebanyak RM2 juta akan diperuntukan untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan Manek Urai termasuk membaiki rumah, penurapan jalan di samping kemudahan-kemudahan asas lain.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bercadang menyediakan peruntukan RM3,000 setiap keluarga untuk membaiki rumah selain RM30,000 untuk membina rumah baru.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri terhadap Kerajaan Pusat, beliau tidak dapat memberi gambaran jelas perkembangan terbaru perkara berkenaan kerana pihak bertanggungjawab lebih arif untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan isu tersebut terus mendapat perhatian kerajaan pusat di mana proses rundingan telah dijalankan bagi mengkaji setiap undang-undang dan peraturan dalam hal-hal yang berkaitan mengikut Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Perjanjian Konsesi oleh Petronas.

Sehubungan itu beliau menyarankan kepada semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri itu sebelum ianya diputuskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiDdin Yassin sebelum ini berkata, Petronas telah diarahkan untuk memberikan jawapan terhadap tuntutan kerajaan negeri Kelantan itu dalam tempoh 48 jam.
Namun sehingga kini Petronas terus menutup mulutnya mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: