<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Isnin, Julai 20, 2009

Apabila PAS dan Pakatan Rakyat Menang; Penyokong, ahli dan pemimpin akan lari tinggalkan UMNO/BN

Written by Wartawan Buletin
KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Ulama’ PAS, Dato’ Ustaz Harun Taib percaya, penyokong BN, khususnya ahli-ahli UMNO akan meninggalkan parti tersebut sebaik sahaja PAS dan Pakatan Rakyat mendapat kedudukan terbaik dalam politik di negara ini.

Beliau berkeyakinan penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin mereka akan bertindak meninggalkan parti itu pada bila-bila masa sahaja.

Lebih jelas, katanya, sokongan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN semakin meleset dan perkembangan ini akan mempengaruhi pengundi untuk beralih kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

“Bila-bila masa sahaja orang akan keluar UMNO, pemimpin UMNO pun nak keluar UMNO,” katanya ketika ditemui Khamis lalu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata akan berlaku peralihan politik di negeri itu selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurutnya, PAS Terengganu terus memperkasa jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang selepas meraih satu lagi kemenangan dalam pilihanraya kecil di Manek Urai, Selasa lalu.

Katanya, PAS Terengganu memberi tumpuan kepada pembangunan insan terutama dari aspek kesedaran bagi memastikan orang Melayu mengetahui tanggungjawab mereka sebagai orang Islam.

Usaha itu diteruskan, katanya, dengan pemimpin turun bertemu rakyat pada setiap minggu bagi merapatkan ukhuwwah antara pemimpin dan rakyat di samping sebagai langkah pro-aktif menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat.

“Kita sudah pun turun ke tiga Dewan Undangan Negeri, sejak awal Julai, DUN Bandar, Kuala Terengganu, DUN Kota Putra, Besut dan DUN Chukai di Kemaman,” katanya.

Tiada ulasan: