<<<<<

<<<<<
Halaman Utama

Khamis, Julai 16, 2009

Tindakan Umno perlekeh Abe Uji jadi senjata makan diri

KUALA KRAI, 16 Julai (Hrkh) - Tindakan Umno memperlekehkan Mohd Fauzi Abdullah sebagai peraih ikan dan berpendidikan rendah, akhirnya menjadi senjata makan diri.


Majoriti pengundi di Manek Urai menolak isu tersebut biar pun disebar-sebar di kampung-kampung melalui tenaga kempen Umno dan jentera kerajaan pusat.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga kerana rakyat di Manek Urai tidak mudah terpengaruh dengan taktik kotor yang dipermainkan Umno.

Kata beliau juga pengundi mempunyai daya ketahanan diri yang kuat biar pun banyak umpan wang ditabur Umno.Image

"Sebab itulah ada pihak menjangka PAS kalah pada pilihan raya itu berikutan banyak wang ditabur, janji pembangunan dipancing dan bantuan jentera kerajaan secara besar-besaran.

"Jadi ketika berdepan dengan segala situasi itu PAS masih boleh menang maka ia dianggap satu kejayaan besar. Jumlah majoriti tidak lagi menjadi penting dalam keadaan itu," katanya di sini, semalam.

Malah beliau cukup berbangga kerana pengundi di Manek Urai membuktikan kerajaan pimpinan ulama terus menjadi pilihan rakyat Kelantan.

Pada pilihan raya tersebut calon PAS, Abe Uji menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi. Abe Uji memperolehi sebanyak 5,348, manakala Tuan Aziz - 5,283 undi.

Abe Uji berkata, kemenangan yang diperolehinya bukan kejayaan peribadi, sebaliknya hak semua pejuang Islam dan pencinta keadilan.

"Saya berterima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi saya. Saya bersyukur. InsyaAllah saya akan cuba sedaya upaya menjadi wakil rakyat sebaik mungkin tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Dalam perkembangan lain Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta kerajaan pusat membina jalan raya baru menghubungkan Kuala Krai - Kota Bharu sebagaimana dirancang sebelum ini.

Katanya, jalan raya baru itu sewajarnya disegerakan bagi mengatasi pertambahan jumlah kenderaan yang begitu ketara sekarang.

"Kerajaan kena meneruskan pembinaan jalan raya terbabit sebagaimana diumumkan sebelum ini. Buatlah apa yang telah dirancang dan bukannya menabur janji kosong kepada pengundi di Manek Urai," katanya.

Tiada ulasan: